SHAH ALAM –
Seorang bapa akan didakwa di Mahkamah Kesalahan-kesalahan Seksual
Terhadap Kanak-kanak membabitkan sekurang-kurangnya 600 dakwaan meliwat
dan rogol anak perempuannya.
Lelaki terbabit
yang berusia 37 tahun, dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu
sejak dua tahun lalu, selepas mangsa yang kini berusia 15 tahun tinggal
bersama ekoran perceraian dengan isterinya.
Suspek kini berada dalam tahanan reman selepas ditahan polis sejak 26 Julai lalu.
Dia ditahan
polis selepas mangsa mendedahkan nasib malang menimpanya kepada ibu
kandung, sejurus mengetahui bapanya itu berhasrat mengambil dua adiknya
berusia sembilan dan 11 tahun untuk tinggal bersama.
Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmad, berkata
suspek akan berhadapan 632 pertuduhan membabitkan kesalahan mengikut
Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap
Kanak-kanak 2017 serta Akta Kanak-kanak 2016.
“Suspek akan
didakwa di Mahkamah Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak
esok membabitkan 599 kesalahan meliwat serta satu dakwaan merogol.
“Dia juga
berdepan 30 pertuduhan mengikut Seksyen 14/16 Akta Kesalahan-kesalahan
Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan masing-masing satu pertuduhan
mengikut Seksyen 31(1)(a)dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2016,”
katanya di sini.
Bagi tuduhan
meliwat, jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 377C, tertuduh boleh
dipenjara di antara lima hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Berdasarkan 599 pertuduhan liwat yang dihadapinya, lelaki itu boleh berdepan hukuman penjara berjumlah hampir 3,000 tahun.
Bagi kesalahan
rogol anak kandung atau sumbang mahram mengikut Seksyen 376B boleh
dihukum penjara 10 hingga 30 tahun dan dikenakan sebatan. - BHOnline


Tiada ulasan:
Catat Ulasan