JAKARTA UTARA, INDONESIA - Tidak tahan mendengar tangisan bayinya berusia 3 bulan yang membantutkan hasratnya untuk tidur petang, seorang bapa tergamak memukul sebelum menekup muka mangsa sehingga mati, lapor Tribun News.
Dalam kejadian jam 2 petang, Khamis,
di kediamannya Tower Dahlia 19, Apartment Gading Nias, Kecamatan Kelapa
Gading, bayi perempuan berusia 3 bulan itu dipukul dengan botol bedak
bayi sebelum ditekup dengan bantal, menyebabkan mangsa lemas.
Sebelum kejadian, Faisal Amir, 27,
baru saja mahu melelapkan matanya. Namun anak perempuannya itu menangis
menyebabkan dia berang lalu memukul kaki mangsa menggunakan botol bedak
bayi. Malangnya, tindakan Faisal itu membuatkan mangsa semakin kuat
menangis kerana kesakitan.
Berang dengan tangisan mangsa, Faisal
kemudian mengambil bantal lalu ditekup pada muka mangsa sebelum kembali
meneruskan hasratnya untuk tidur petang.
"Ketika itu saya mahu tidur petang.
Tetapi anak menangis tak henti-henti. Saya geram, lalu saya pukul
kakinya menggunakan botol bedak bayi dan dia masih menangis lagi.
"Pada masa itu saya nampak ada bantal
di bawah kepala saya, lalu saya tarik dan tekup wajahnya dengan bantal.
Masa itu saya dah geram sangat," katanya.
Selepas tiga jam kemudian, Faisal
terbangun dari tidur dan tidak menyedari bayinya itu sudah tidak
bernyawa. Faisal kemudian membuat susu untuk anaknya dan ketika mahu
memberikan susu itu kepada mangsa, barulah dia tersedar mangsa sudah
tidak lagi bernyawa.
"Saya cuba memberi bantuan pernafasan,
tetapi anak tidak memberikan sebarang respon. Tiada tanda yang dia akan
bernafas semula," katanya yang menyesal dengan tindakannya sebelum itu
yang telah membunuh anaknya sendiri.
"Jujur saya menyesal melakukan
perbuatan itu. Saya bunuh anak saya sendiri hanya kerana tidak tahan
mendengar tangisannya," katanya.
Ketua Polis Jakarta Utara, Kombes Pol
Dwiyonon berkata, suspek dalam keterangannya juga telah mengaku membunuh
anaknya sendiri kerana tidak tahan mendengar tangisannya. Juga
difahamkan suspek mengalami tekanan hidup kerana sudah lama menganggur.
"Suspek juga mengalami tekanan kerana
sudah lama menganggur. Dia juga kesal dengan anaknya yang sering
menangis menyebabkan dia memukul mangsa dengan botol bedak bayi sebanyak
tiga kali sebelum menekup wajahnya dengan bantal sehingga lemas.
"Ketika kejadian berlaku, hanya suspek
dan mangsa sahaja berada di rumah. Manakala isterinya tiada di tempat
kejadian kerana bekerja sebagai pegawai akauntan di Tanjung Priok dan
hanya pulang ke rumah seminggu sekali.
"Jadi mungkin suspek juga tertekan
kerana isterinya yang jarang pulang dan hanya dia seorang saja yang
menguruskan bayi perempuan mereka sendiri," jelasnya.
Mangsa disahkan meninggal dunia kerana lemas selepas wajahnya ditekap dengan bantal.
Siasatan polis mendapati, Faisal
menyedari anaknya sudah tidak bernyawa dalam keadaan muntah dan membuang
air besar. Melihat keadaan itu, Faisal segera membersihkan kotoran itu
sebelum menghubungi saudaranya, Lily, 50, yang melaporkan kejadian itu
kepada pihak polis.
Sementara itu, keluarga Faisal, Fira,
menegaskan bahawa mereka percaya suspek tidak sengaja membunuh bayinya.
Malah keluarganya juga menyangkal dakwaan media kononnya Faisal telah
membunuh bayinya sendiri.
"Setahu kami, abang Faisal tidak bunuh
anaknya sendiri. Dari apa yang dia ceritakan kepada ibu saya, kejadian
itu tidak disengajakan," katanya.
Faisal kini ditahan mengikut Akta 340 kerana membunuh anaknya sendiri yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan