![]() |
| Hotel tempat kejadian anggota polis dihalang semasa Op Cantas bagi menahan seorang saspek yang berada dalam satu majlis perkahwinan di Jalan Putra di Alor Setar hari ini. |
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar pergi ke sebuah dewan di hotel tersebut untuk menahan seorang lelaki berusia 38 yang menghadiri majlis tersebut.
Lelaki terbabit dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan kesalahan ugutan jenayah dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerugian.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, semasa hendak membuat tangkapan dalam Op Cantas itu, seorang pegawai kanan polis yang mengetuai sepasukan polis tersebut bertindak memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis.
“Sekumpulan lelaki dianggarkan seramai 30 hingga 40 orang telah datang lalu menghalang pegawai kanan polis dan anggota polis lain membuat tangkapan dengan menolak mereka berkali-kali.
“Salah seorang daripada mereka yang mengaku sebagai pengantin lelaki berketurunan India terus membaling gelas minuman keras ke arah pegawai polis terbabit yang mengakibatkan kecederaan pada tangan kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek utama yang dikehendaki itu kemudian meloloskan diri melalui pintu belakang hotel dan polis tidak menahan pengantin lelaki pada majlis tersebut bagi mengelak kekecohan yang lebih besar.
“Suspek yang menghalang tugas polis berusia 35 tahun ditahan di rumahnya di sini lewat pagi tadi selepas majlis selesai dan berlaku sedikit kekecohan semasa tangkapan dibuat sehingga terpaksa meminta bantuan daripada Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis,” jelasnya.
Mohd. Rozi memberitahu, pihaknya kini giat memburu suspek yang melarikan diri itu dan suspek mempunyai lebih enam rekod jenayah lampau antaranya di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan selain pernah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam. - UTUSAN ONLINE


Tiada ulasan:
Catat Ulasan