Nur Pages

Blog ini memberikan perkongsian tentang isu semasa,berita dalam dalam negara dan luar negara,viral dan banyak lagi.Terima Kasih kerana melayari http:// nurpages.blogspot.my

Nur-Pages



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Translate

Rabu, 30 Mei 2018

Dalang Pembunuhan Ngeri Ditahan Di Thailand

  Unknown       Rabu, 30 Mei 2018


BANGKOK – Setelah diburu selama beberapa bulan, lelaki dipercayai mendalangi pembunuhan kejam seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Johor Baharu, Disember lepas, akhirnya ditangkap di Thailand.

Suspek (namanya dirahsiakan) yang berusia dalam lingkungan 40 tahun dan mempunyai satu tatoo besar di lengan kanan, ditangkap sekumpulan pegawai polis Thailand di wilayah Chaiyaphum, kira-kira 260km di timur laut Bangkok pada kira-kira 7 pagi ini.

“Lelaki itu merupakan suspek paling dikehendaki dalam kes pembunuhan (di sebuah stesen minyak di Johor Baharu). Dia dipercayai menjadi dalangnya,” kata penolong pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Thailand, Supt. Ridzuan Abdul Aziz kepada Bernama di sini hari ini.

Penangkapannya oleh polis Thailand pagi ini berikutan permohonan bantuan oleh rakan sejawatan mereka dari Malaysia beberapa bulan lepas, menamatkan operasi memburu secara besar-besaran oleh pihak berkuasa kedua-dua negara, yang turut meliputi dua sempadan sepanjang beberapa ribu kilometer.

Menurut Ridzuan, suspek datang ke Thailand Disember lepas, tidak lama selepas berlaku kes pembunuhan yang mengejutkan rakyat Malaysia itu, dalam keadaan kepalanya bercukur licin, kemungkinan besar bagi menyembunyikan identiti sebenarnya daripada pihak berkuasa.

Apabila tiba di Thailand, suspek tinggal dalam keadaan penuh berahsia di sebuah wilayah kurang tersohor yang terletak beberapa ratus kilometer dari Bangkok.

Bernama difahamkan bahawa polis Thailand dijangka memanggil sidang media dalam tempoh terdekat untuk membuat pengumuman tentang penangkapan suspek dan beberapa maklumat lain berkaitan penangkapannya.

Mereka juga dijangka memberi penjelasan tentang isu berkaitan penghantaran pulang suspek ke Malaysia untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Dalam temu bual dengan Bernama di Bangkok Januari lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata beberapa orang yang disyaki terlibat dengan pembunuhan berprofil tinggi di stesen minyak itu melarikan diri dan bersembunyi di Thailand.

Polis Malaysia , kata beliau, telah memohon kerjasama polis Thailand untuk mengesan suspek, termasuk suspek utama dalam kes bunuh yang mendapat liputan meluas itu.
Dalam temu bual itu, ketua CID berkenaan menyuarakan keyakinan polis untuk berjaya mengesan suspek dan membawa mereka pulang ke Malaysia untuk dibicarakan berhubung pembunuhan kejam itu.

Beliau berkata polis juga mempunyai foto suspek dan rekod lain berhubung kemasukan mereka ke Thailand.

Dalam pembunuhan kejam pada 17 Disember itu, yang klip videonya tular melalui media sosial, seorang lelaki berusia 44 tahun dikenali sebagai “Ah Chiu” ditikam dan dilanggar dengan sebuah kereta BMW putih di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor.

Susulan pembunuhan yang menggemparkan negara itu kerana ia dilakukan dengan amat kejam dan di tempat awam pula, polis bertindak segera dan berjaya menangkap beberapa lelaki serta wanita yang disyaki mempunyai kaitan dengannya.

Polis juga membawa ke muka pengadilan dua suspek Januari lepas dan terus memburu beberapa suspek yang masih bebas. – BERNAMA

logoblog
loading...

Thanks for reading Dalang Pembunuhan Ngeri Ditahan Di Thailand

Previous
« Prev Post

Tiada ulasan:





Recent Posts